Quwwatul Akhlaq (Kekuatan Akhlak)

Islam merupakan agama yang kuat. Kekuatannya terbina di atas beberapa unsur di mana unsur-unsur inilah yang harus diberi penekanan oleh setiap individu muslim sekiranya ingin menzahirkan kekuatan deen ini.

Tidak dapat dinafikan akhlak yang mulia merupakan unsur yang penting dalam melahirkan kekuatan Islam setelah kemantapan unsur aqidah. Allah SWT merakamkan akhlak Rasulullah SAW di dalam al-Quran sebagai akhlak yang kuat dan agung.

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat agung. [52;4]

Entah berapa ramai para sahabat yang memeluk Islam kerana keluhuran budi perkerti baginda SAW. Begitulah besarnya pengaruh akhlak sehingga mampu untuk menguatkan agama ini. Sabda Nabi SAW dalam menjelaskan pentingnya kekuatan akhlak ini:

Dari Abdullah bin Umar r.a., “Orang yang terbaik di antara kamu adalah yang memiliki akhlak yang baik.” [HR Bukhari dan Muslim]

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda, “Orang yang paling kusayangi adalah orang yang memiliki akhlak yang baik.” [HR Bukhari]

Dari Abu Hurairah r.a. “Orang yang paling sempurna keimanannya di antara orang-orang beriman adalah yang paling baik akhlaknya.” [HR Abu Daud]

Malah, sekiranya dilihat pada realiti hari ini, akhlaklah yang menjadi parameter dalam mengukur kebaikan seseorang seterusnya menjadikan individu tersebut sebagai orang yang dipercayai dan dihormati.

Sebagai contoh, seseorang yang kurang ilmunya, namun mempunyai akhlak yang baik, lebih dihormati dan disayangi oleh masyarakat berbanding individu yang tinggi ilmunya namun punah akhlaknya. Walaubagaimanapun perlu difahami bahawa di dalam Islam, akhlak dan ilmu adalah perkara yang serangkai dan tidak boleh dipisah-pisahkan.

Bagaimana membentuk kekuatan akhlak?

1) Ilmu

Firman Allah Azza wa Jalla yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. [58;11]

Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus. [22;54]

Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. [18;65]

Demikianlah Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang berilmu. Terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan orang-orang berilmu.

Bagaimana ilmu membentuk kekuatan akhlak? Dengan ilmu, maka seseorang muslim mampu untuk membuat pertimbangan sekiranya berhadapan dengan pilihan baik dan buruk. Semestinya dengan ilmu yang sahih, maka muslim tersebut akan memilih pilihan yang baik.

2) Menguatkan nilai-nilai keimanan

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. [2;177]

Di dalam satu hadis:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya”. [Bukhari no. 6018, Muslim no. 47]

Kuatkanlah keimanan kita dengan kebajikan-kebajikan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya dalam ayat dan hadis tersebut, nescaya akan terpancar akhlak Islami yang akan meneguhkan deen ini sebagai deen yang ulung di muka bumi.

3) Berusaha membebaskan diri daripada amal-amal yang bertentangan dengan akhlak islami

Cara kita membebaskan diri daripada amal-amal ini ialah dengan bersegera atau berlumba-lumba dengan amal yang baik. Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW mengingatkan kita akan fitnah yang datang secara tiba-tiba:

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bersegeralah engkau sekalian untuk melakukan amalan-amalan - yang baik - sebelum datangnya bermacam-macam fitnah yang diumpamakan sebagai potongan-potongan dari malam yang gelap gelita." [Riyadhus Solihin]

Hadis ini memberikan suatu isyarat bahwa pada akhir zaman nanti akan banyak sekali terjadi berbagai macam fitnah dan datang secara berturut-turut. Setiap satu macam fitnah telah lenyap, lalu disusul pula oleh fitnah yang lainnya. Maka sekiranya kita berpeluang untuk melakukan sesuatu kebaikan, bersegeralah. Sekiranya tidak berpeluang, maka ciptakanlah peluang tersebut. Semoga kita dikurniakan keselamatan oleh Allah.

4) Meninggalkan bi’ah yang jelek

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. [9;119]

Bersamalah dengan orang-orang yang benar (Siddiqeen), kerana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang keji dan persekitaran mereka juga bukanlah persekitaran yang bermaksiat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan untuk beramal dengan akhlak-akhlak yang terpuji, sekaligus dengannya akan menyerlahkan kekuatan Islam yang tercinta ini.

0 Responses

Posting Komentar

abcs